KUCHING: Sambutan Aidilfitri pada tahun ini amat bermakna bagi 368 penerima sumbangan daripada lapan kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N6 Tupong.
Ini kerana, sumbangan itu dapat membantu mereka membuat persiapan menjelang Aidilftri.
Penerima berkenaan terdiri daripada golongan kurang mampu di kawasan tersebut.
Mereka daripada Kampung Pinang Jawa, Taman Gita Jaya, Kampung Gita Lama/ Gita Baru Sungai Maong, Kampung Gita Laut, Kampung Gita Tengah, Kampung Gita Baru, Taman Fitrah dan Laruh Skim.
Ia dianjurkan Lembaga Amanah Kebajikan Muslim Kampung Gita Matang, berlangsung di Masjid At Taqwa, Kampung Pinang Jawa, di sini.
Majlis penyampaian sumbangan itu dilakukan Menteri Kanan Kerja Raya merangkap Ahli Parlimen Petra Jaya, Datuk Seri Fadillah Yusof, hadir sama Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N6 Tupong, Fazzrudin Abdul Rahman.
Dalam ucapan ringkas beliau, Fadillah berkata sumbangan itu merupakan program tahunan, namun tidak dapat dilaksanakan dua tahun lalu ekoran pandemik Covid-19.
“Alhamdulillah, pada tahun ini kita dapat meraikan kemeriahan sambutan Aidilfitri walaupun negara masih dalam fasa peralihan pandemik Covid-19. Dengan harapan agar bantuan ini memberi kegembiraan kepada penerima hari ini.
“Apa yang penting, kita mencari keberkatan dalam kehidupan,” katanya.
Sementara itu, Fazzrudin berkata, Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong amat menitikberatkan kebajikan penduduknya dan menjaga pendidikan anak-anak di kawasan itu.
“Peluang pendidikan anak- anak kawasan ini tetap dijaga,” katanya.
Sumber dari : Jiwa Bakti